Luqman Hakim yang patah kaki kiri mengulangkaji pelajaran di katil wad sebagai persiapan menghadapi peperiksaan. FOTO Hamzah Osman
Luqman Hakim yang patah kaki kiri mengulangkaji pelajaran di katil wad sebagai persiapan menghadapi peperiksaan. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Luqman Hakim Abdul Malik, 17, yang dirawat di Hospital Langkawi (HL) bersemangat menjawab kertas peperiksaan walaupun dalam keadaan kesakitan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri itu dimasukkan ke HL kira-kira 9.30 malam Ahad lalu selepas patah kaki kiri akibat kemalangan jalan raya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia akan menduduki peperiksaan di wad HL sehingga kertas terakhir iaitu Sains pada 21 November ini.

"Doktor beritahu pembedahan kaki hanya akan dibuat selepas saya selesai menduduki peperiksaan bertujuan memberi keselesaan menjawab kertas peperiksaan.

"Apa boleh buat, terpaksalah saya jawab dalam keadaan kaki berbalut dan sesekali menahan sakit kerana peperiksaan ini menentukan masa depan saya," katanya ketika ditemui di wad HL, hari ini.

Luqman Hakim yang juga anak kepada Penghulu Mukim Ayer Hangat, Abdul Malik Abdul Aziz berkata, dia mengambil enam subjek teras iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains.

"Semalam sudah selesai menjawab kertas bahasa Melayu 1 dan 2, disusuli hari ini bahasa Inggeris 1 dan 2, manakala esok adalah kertas Pendidikan Islam.

"Harap-harap kejayaan bersama saya walaupun terpaksa jawab peperiksaan atas katil wad hospital iaitu perkara yang tidak saya jangkakan sebelum ini," katanya.

Menceritakan kejadian yang menimpanya, Luqman Hakim berkata, dia menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Ayer Hangat, Langkawi apabila terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda.

"Saya keluar ke pekan Kuah untuk membeli peralatan tulis sebagai persediaan untuk SPM dan dalam perjalanan pulang saya terlanggar belakang kenderaan pacuan empat roda sebaik tiba di Kampung Kisap.

"Kejadian berlaku pantas dan akibat perlanggaran itu saya terjatuh di atas jalan raya menyebabkan luka di bibir dan patah kaki kiri sebelum dihantar ke HL menggunakan ambulans," katanya.

Katanya, sepanjang berada di hospital dua hari lalu, dia mendapat sokongan ahli keluarga dan rakan yang menziarahinya dan memberi kata-kata semangat bagi menghadapi SPM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:04 PM