LOKASI mayat berulat hampir reput ditemui di dalam semak tepi jalan masuk ke sebuah kebun sayur di Pos Hendrop. FOTO Ramli Ibrahim
LOKASI mayat berulat hampir reput ditemui di dalam semak tepi jalan masuk ke sebuah kebun sayur di Pos Hendrop. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


MAYAT yang sudah berulat dan belum disahkan identiti dan jantina ditemui di tepi jalan menghala ke ladang sayur berhampiran Pos Hendrop, Gua Musang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mayat itu dijumpai penduduk Orang Asli pada 11.15 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggotanya dikerah ke lokasi dan mendapati mayat sudah reput dan berulat dalam keadaan terbaring di tepi jalan.

"Ia masih lengkap berpakaian baju kemeja-T dan seluar tetapi kita tidak dapat mengesahkan identitinya kerana keadaan mayat mereput serta fizikal muka tidak sempurna.

"Kita menunggu pasukan forensik dari Kota Bharu untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, penduduk Orang Asli yang melalui kawasan itu untuk ke kebun sayur, terhidu bau busuk dan menemui mayat berkenaan sebelum membuat laporan di Pondok Polis Lojing.

Mayat dipercayai sudah berada di situ melebihi tiga hari berdasarkan keadaannya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan sebelum mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 8:56 PM