Plaza Tol Batu 3 Shah Alam akan dimansuhkan kutipan tol mulai 1 Januari 2018.
Plaza Tol Batu 3 Shah Alam akan dimansuhkan kutipan tol mulai 1 Januari 2018.
Faliq Lajim dan Norzamira Che Noh


PEMANSUHAN tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam

pembentangan Bajet 2018 hari ini adalah berita yang ditunggu-tunggu orang ramai khususnya penduduk Shah Alam dan Klang sejak sekian lama.

Pekerja di sebuah syarikat swasta, Illya Zhafiera Rahim, 25, berkata, setiap bulan dia membayar tol di kedua-dua plaza tol itu berjumlah RM84 dan pemansuhan tol berkenaan sangat melegakannya.

Menurutnya, dia berulang alik dari rumahnya di Klang ke tempat kerja di Damansara setiap hari dengan kos kedua-dua plaza tol itu RM4.20 sehari iaitu pergi dan pulang.

"Saya menggunakan laluan ini dari Isnin hingga Jumaat dan dalam sebulan hampir RM100 saya belanjakan untuk tol.

"Jadi pengumuman oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2018 ini sangat ditunggu-tunggu malah ini boleh dikatakan hadiah daripada kerajaan untuk rakyat terutama golongan berpendapatan rendah pada 2018," katanya.

Norfarah Syafira Mohd Sabri, 26, berkata, pengumuman itu sangat membantunya apatah lagi dia kini menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan perlu berulang alik dari rumah keluarga di Cheras ke UiTM di Shah Alam hampir setiap hari.

"Hampir setiap hari saya perlu melalui Plaza Tol Batu Tiga untuk pergi dan balik yang menelan kos RM2.20 dari Cheras ke Shah Alam.

"Dengan pengumuman ini ia meringankan beban saya serta penuntut lain yang melalui plaza tol," katanya yang juga penuntut Sarjana Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM.

Sementara itu Penyelaras Kerajaan Persekutuan Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, pengumuman Perdana Menteri itu sudah lama ditunggu-tunggu.

Beliau yang juga antara individu yang secara konsisten mendesak pemansuhan dua plaza tol ke Kuala Lumpur itu berkata, pengumuman itu membuktikan suara dan rayuan penduduk Shah Alam yang mahukan kedua-dua tol itu dimansuhkan didengari pemimpin negara.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar rayuan kami penduduk Shah Alam agar tol berkenaan dimansuhkan.

"Saya membuat desakan secara konsisten sejak 2014 agar Kerajaan Persekutuan memansuhkan dua tol berkenaan yang didapati tidak adil untuk penduduk Shah Alam dan Klang.

"Mereka terpaksa membayar tol jika ingin ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Persekutuan sedangkan penduduk dari Subang tidak perlu melalui tol," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 10:50 PM