ZAINOL (kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada Kho pada Majlis Penyerahan Rumah Projek Mesra Rakyat TNB, semalam.
ZAINOL (kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada Kho pada Majlis Penyerahan Rumah Projek Mesra Rakyat TNB, semalam.
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah sepasang suami isteri apabila lantai dan dinding rumah mereka yang rosak dan reput dibaiki dalam Projek Mesra Rakyat Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena program Pemukiman Menteri Besar Perak di Jalan Tan Pooi, Pantai Remis, di sini, semalam.

Ling Hwa Kiong, 61, tinggal di rumah serba kekurangan itu sejak lebih 10 tahun lalu bersama isteri, Kho Pooh Ngioh, 52, dan tiga anak perempuan mereka yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun manakala dua anak lain masing-masing sudah berkahwin dan bekerja di Johor.

Menurutnya, dia terpaksa berhenti kerja sebagai buruh binaan sejak enam bulan lalu berikutan faktor kesihatan dan hanya isterinya saja yang bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan berhampiran rumah dengan upah RM6.50 sejam.

“Pendapatan bulanan isteri kira-kira RM450 sebulan namun tidak menentu dan itu menyukarkan lagi kehidupan sehingga tidak mampu membaiki kerosakan dan saya cukup risau apabila hujan lebat kerana air akan memasuki rumah.

“Namun kami sekeluarga gembira dan seolah-olah menerima rumah baru. Bantuan yang diberikan ini memberikan kehidupan lebih selesa dengan rumah lebih selamat dan pendawaian baru,” katanya ketika ditemui pada majlis terbabit yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Kerja membaik pulih rumah warga emas itu bermula Ogos lalu dan siap sepenuhnya pada pertengahan September lalu dengan kos RM30,000.

Sementara itu, Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Perak, Bahagian Pembahagian TNB, Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid berkata, tahun ini sebanyak 25 rumah termasuk tiga di Perak sudah dibaik pulih melalui projek berkenaan.

“Sejak diperkenalkan pada 2012, TNB sehingga kini sudah membaik pulih sebanyak 96 rumah dan diharap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga itu,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 14 rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Baharu, DUN Pasir Panjang dan DUN Pangkor terpilih pada Program Pendawaian Semula Bekalan Elektrik Rumah Asnaf.

Bagi peringkat negeri Perak, sebanyak 204 rumah sudah dilaksanakan pendawaian semula bagi tahun 2016/2017 dan kos bagi pendawaian semula menggunakan peruntukan agihan semula zakat perniagaan TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:34 AM