HISHAMMUDDIN (tiga kiri) pada sidang media selepas menghadiri Dialog Transformasi Nasional (TN 50). FOTO Rizanizam Abdul Hamid
HISHAMMUDDIN (tiga kiri) pada sidang media selepas menghadiri Dialog Transformasi Nasional (TN 50). FOTO Rizanizam Abdul Hamid
Rizanizam Abdul Hamid


KEMENTERIAN Pertahanan belum dapat mengesahkan kesahihan kematian militan Malaysia, Dr Mahmud Ahmad, yang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan tentera di Marawi City, Filipina, Rabu lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, setakat ini beliau belum mendapat pengesahan rasmi daripada perisik pertahanan negara berhubung perkara itu.

"Saya masih belum terima pengesahan itu daripada agensi perisikan kita dan saya berpandangan perkara ini perlu bergantung kepada laporan perisikan kita walaupun pimpinan tertinggi tentera Filipina mendakwa kemungkinan Dr Mahmud adalah yang terbunuh.

"Biar saya semak dulu, tapi kamu tahula ada banyak lagi Dr Mahmud jadi jangan fikir ini penamatnya," katanya

pada sidang media selepas menghadiri Dialog Transformasi Nasional (TN 50) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkata Tentera Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim MohamadRadzi.

Semalam,tentera Filipina berkata, kemungkinan besar Dr Mahmud yang juga Komander Batalion Ansar al-Shariah, cabang utama Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) terbunuh dalam pertempuran itu bersama 19 militan yang lain.

Timbalan Komander Tentera Filipina Kolonel Romeo Brawner dilaporkan berkata, pihaknya yakin kemungkinan besar Dr Mahmud antara 13 yang terbunuh dalam pertempuran itu.

Berita berkaitan:

Tentera yakin Dr Mahmud terbunuh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 7:36 PM