Syah Rul Aswari Abdullah


PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, petang ini berhubung siasatan kes penyelewengan dana RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Perkara itu disahkan peguam mewakili WARISAN Norazmi Alimat, hari ini.

Difahamkan, Mohd Shafie yang juga bekas Menteri KKLW dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang ini dari Kuala Lumpur dan terus ke pejabat SPRM Sabah.

Setakat ini, SPRM sudah menahan reman sembilan individu di Sabah dan Putrajaya iaitu lima ahli politik, tiga ahli perniagaan serta seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Di Sabah, individu yang ditahan reman adalah Naib Presiden WARISAN Datuk Peter Anthony, 46; Ketua Wira parti itu Datuk Mohd Azis Jamman, 43; Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar, 43; Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, 44; serta seorang ahli perniagaan Yu Sin Kong, 52.

Dua adik Mohd Shafie, Mohd Yusof, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu dan Hamid, 52, yang juga ahli perniagaan serta menantu Hamid, Manzur Hussein Awal Khan, 33, turut ditahan reman.

Di Putrajaya, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di sebuah kementerian Persekutuan turut ditahan reman bagi membantu kes sama.

Bagaimanapun, hanya Mohd Yusof masih ditahan reman manakala lapan individu lain sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana sebuah kementerian Persekutuan di Sabah membabitkan RM1.5 bilion iaitu sebahagian daripada peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di negeri itu antara 2009 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 1:36 PM