RADZIAH  menyerahkan sumbangan kepada pesakit di Wad Bersalin Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, semalam.
RADZIAH menyerahkan sumbangan kepada pesakit di Wad Bersalin Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, semalam.
HM Digital

Johor Bahru: Polis Johor menyerahkan laporan awal siasatan tujuh anggota dan pegawainya didakwa berhibur bersama tauke mesin judi di sebuah pusat hiburan kepada Bukit Aman, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan dan laporan awal sudah dihantar ke Bukit Aman pagi semalam.

Menurutnya, tidak timbul soal penganiayaan kerana sebagai pegawai dan anggota polis, mereka sedar keperluan menjaga integriti masing-masing.

“Kita akan menjalankan siasatan tatatertib dan tindakan bergantung pada hasil siasatan itu.

“Buat masa ini, kami sudah memindahkan tujuh anggota termasuk seorang pegawai kanan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) berkuat kuasa serta-merta, semalam,” katanya selepas menyerahkan 20 tilam dan 30 hamper kepada ibu bersalin di Unit Bersalin Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Bantuan itu adalah sumbangan Bulan Sabit Merah Malaysia (Johor) dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Johor. Hadir sama, Pengerusi PERKEP Johor, Datin Radziah Zakaria.

“Sebagai anggota dan pegawai polis, mereka perlu sedar beberapa tindakan terbatas dan memandangkan mereka berada di lokasi itu, tindakan disiplin akan diambil.

“Selain itu, kami akan mengenal pasti identiti individu bersama mereka sama ada seperti didakwa (bersama tauke mesin judi) atau tidak.

“Buat masa ini mereka masih bertugas di IPK Johor seperti biasa hinggalah siasatan selesai,” katanya.

Terdahulu Mohd Khalil berkata, pihaknya memindahkan tujuh anggota termasuk seorang pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ke IPK Johor selepas tular video mereka di dalam kelab malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 5:47 AM