Anggota Bomba berusaha mengeluarkan mayat Abdul Raman yang tersepit dalam trelernya selepas terbabit kemalangan di Jalan Sungai Lalang ke Bukit Selambau, Sungai Petani, petang tadi-FOTO ihsan pembaca
Anggota Bomba berusaha mengeluarkan mayat Abdul Raman yang tersepit dalam trelernya selepas terbabit kemalangan di Jalan Sungai Lalang ke Bukit Selambau, Sungai Petani, petang tadi-FOTO ihsan pembaca
Omar Osman

PEMANDU treler berusia 54 tahun maut selepas treler dipandunya hilang kawalan dan merempuh pokok getah di Jalan Sungai Lalang, Bukit Selambau, Sungai Petani, hari ini.

Kejadian berlaku pada 2.40 petang ketika mangsa, Abdul Raman Sa'ad dalam perjalanan dari Sungai Lalang ke Kawasan Perindustrian Bukit Selambau untuk mengambil muatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Deputi Superintenden Saifi Abdul Hamid berkata, namun sebaik tiba di tempat kejadian treler yang dipandu mangsa, tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pokok getah.

Katanya, akibat kejadian itu kepala treler itu remuk teruk dan mangsa tersepit di tempat duduknya sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.

" Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim ( HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa keluar dari rumahnya di Kampung Manggis,Jalan Sungai Dua, Butterworth kira-kira jam 8 pagi untuk memunggah barang muatan trelernya di Kawasan Perindustrian dekat Pulau Pinang.

"Tapi kira-kira jam 4.30 petang kami terima panggilan memberitahu mangsa terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Selambau dan meninggal dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 8:10 PM