Mohd Hafizee Mohd Arop

CUACA mendung dan gerimis di Kuala Kangsar mengiringi istiadat pemakaman Almarhumah Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah yang mangkat petang semalam di Petaling Jaya, Selangor.

Jenazah Almarhumah yang juga isteri kepada Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa selamat dikebumikan di Makam Diraja Kuala Kangsar bersebelahan makam Almarhumah Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Izan Raja Bendahara Raja Abdul Rashid, jam 6.05 petang hari ini.

Almarhumah Raja Nor Mahani mangkat pada usia 75 tahun pada 5.07 petang semalam sebelum jenazahnya dibawa pulang dan disemayamkan di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Ubudiah dan tiba pada 3.10 petang hari ini dengan menaiki pedati khas 'Seraja Diraja' dari Galeri Sultan Azlan Shah untuk disembahyangkan sebelum disemadikan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengetuai adat menabur bunga mawar dan menyiram air mawar diikuti Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Raja Jaafar; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, dua anakanda Almarhumah iaitu Raja Shah Azman dan Raja Nor Azwina.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; EXCO Kerajaan Negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Almarhumah Raja Nor Mahani dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 1 Julai 2014 serentak dengan pemasyhuran Raja Jaafar sebagai Raja Muda Perak.

Baginda yang lahir pada 18 Oktober 1942 di Kuala Lumpur, berkahwin dengan Raja Jaafar pada 1973 serta aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 6:49 PM
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tiga kiri) dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (empat kiri) berangkat di istiadat pemakaman jenazah Almarhumah Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah di Makam Diraja Kuala Kangsar. Turut sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (dua kiri);Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah (kiri) dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud (dua kanan). FOTO ABDULLAH YUSOF