ALMARHUMAH Raja Halimahton dibawa dengan van jenazah untuk dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar.
ALMARHUMAH Raja Halimahton dibawa dengan van jenazah untuk dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar.
Mohd Hafizee Mohd Arop


JENAZAH kekanda Permaisuri Johor, Almarhumah Raja Halimahton Shahrin Sultan Idris Shah yang mangkat, semalam selamat dimakamkan di Makam Diraja di Kuala Kangsar, kira-kira jam 2.20 petang ini.

Sebelum itu, jenazah Almarhumah dibawa ke Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan disembahyangkan oleh jemaah selepas solat Zuhur.

Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah berkenan mengiringi jenazah bersama Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Harian Metro malam tadi melaporkan, seorang kerabat diraja Perak dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di Teluk Dalam Pasir Hantu, Pulau Perhentian, Terengganu, jam 4.15 petang.

Difahamkan, mangsa dipercayai lemas apabila tangki udara dipakainya mengalami masalah ketika berada pada kedalaman 19 meter.

Raja Halimahton, 62, adalah kekanda kepada Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Sementara itu, melalui akaun Facebook (FB) milik Almarhumah, anakandanya yang menggunakan nama Putera Mohamed Afiq memberitahu akan mengambil alih akaun FB milik ibunya itu dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kemalangan itu.

“Bagi pihak arwah ibu saya, saya akan mengambil alih akaun ini, saya Putera Mohamed Afiq (nama dalam FB) mahu memberitahu kepada semua termasuk ahli keluarga dan rakan, jangan membuat spekulasi atau andaian kemalangan disebabkan laporan polis sudah dibuat oleh pengajar Hazz Zain (nama dalam FB) , Terima kasih atas semua ucapan,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 4:47 PM