Chandra (tengah) bersama pegawainya menunjukkan syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Pulau Gaya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Chandra (tengah) bersama pegawainya menunjukkan syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Pulau Gaya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Fardy Bungga


DUA wanita warga asing berusia 36 dan 26 tahun ditahan selepas polis menemui lebih satu kilogram syabu yang disembunyikan di bawah lantai rumah mereka di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Isnin lalu.

Kedua-dua wanita berstatus ibu tunggal itu dipercayai menjalankan aktiviti mengedar dadah dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit di rumah atas air berkenaan.

Dalam serbuan 12 tengah hari itu, sepasukan anggota Bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bertindak menyerbu ke rumah mereka selepas menerima maklumat awam dan risikan.

Hasil pemeriksaan mendapati dadah disembunyikan di dalam tiang rumah yang diubahsuai khas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, dadah ditemui disimpan di dalam 33 paket plastik yang dipercayai untuk dijual di pasaran Pulau Gaya dan Kota Kinabalu.

Katanya, suspek berusia 36 tahun yang dikenali dengan gelaran 'Hajah' itu memiliki taraf penduduk tetap manakala rakannya tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

"Semua dadah yang dirampas adalah seberat 1,006.22 gram dan dianggarkan bernilai kira-kira RM70,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti pembekal dadah berkenaan kepada kedua-dua wanita berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Chandra berkata, polis turut merampas pelbagai barangan kemas dan telefon pintar yang dianggarkan bernilai RM24,000 daripada kedua-dua suspek.

Katanya, mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 9 Oktober depan untuk membantu siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 12:14 PM