Penduduk kampung membantu Halimah yang mengalami masalah nyanyuk. FOTO ihsan Haslina.
Penduduk kampung membantu Halimah yang mengalami masalah nyanyuk. FOTO ihsan Haslina.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


WARGA emas yang mengalami masalah nyanyuk (Alzheimer) ditemui dalam keadaan lemah di Sungai Tok Sadang, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Halimah Salleh, 75, ditemui penduduk kampung pada 9.15 pagi.

Sebelum ditemui, wanita itu berada dalam sungai yang cetek (kira-kira 0.2 meter) meminta bantuan dengan cara melambai tangan sebelum dilihat dan diselamatkan penduduk kampung.

Anak mangsa, Haslina Awang, 33, berkata, ibunya yang turut menghidap darah tinggi keluar dari rumah di Kampung PCB pada 1 tengah hari semalam dan berjalan sejauh enam kilometer hingga ke lokasi ditemui.

Katanya, sebelum keluar ibunya yang dijaga kakak, Hasnah, 37, tidak makan selama dua hari membuatkan dia dan adik beradik lain risau.

"Ibu mengalami masalah nyanyuk dan kali pertama hilang dari rumah kemungkinan lupa jalan pulang.

"Jika sebelum ini, ibu hanya berjalan di sekitar kawasan kampung saja, namun kali ini dia pergi lebih jauh.

"Ibu mungkin lupa lokasi rumah kami hingga menyukarkan penduduk kampung untuk menghantarnya pulang. Saya dimaklumkan penduduk mereka melihat ibu di Kampung Lubuk Jambu pada 6 petang semalam," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Katanya, ibunya mengalami luka di kaki kerana tidak memakai selipar dan bersyukur kerana ibunya selamat.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Mohd Ridzuan Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.30 malam semalam dan seramai lapan anggota bergegas ke lokasi di Kampung Lubuk Jambu.

"Operasi pencarian dijalankan di kawasan itu kerana maklumat penduduk kampung mereka menemui mangsa di situ pada 6 petang semalam.

"Kita mencari mangsa sebelum dimaklumkan penduduk mangsa ditemui di Sungai Tok Sadang pagi tadi dan kami ke lokasi itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 12:01 PM