TERTUDUH ketika di   Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.
TERTUDUH ketika di Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Padah mengambil rasuah RM1,000, seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Md Zamri Atan@Mohd Salleh, 36, yang bertugas di Bahagian Kejuruteraan Automotif dijatuhi hukuman terbabit selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu namun menukar pengakuannya kepada bersalah pada hari perbicaraan ditetapkan semalam.

Mengikut pertuduhan, Md Zamri didakwa menerima suapan RM1,000 daripada Ng Ken Hing sebagai upah mempercepatkan dan mendapatkan laporan pemeriksaan kenderaan Perodua Myvi.

Kesalahan berkenaan dilakukan di Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Negeri Sembilan di sini, kira-kira 11 pagi, 15 Julai 2013.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurdiyanah Mohd Nawawi manakala tertuduh diwakili Shareen Rosli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 5:38 AM