SEORANG lelaki nekad melanggar sebuah kereta penarik kereta yang menghalang laluannya.
SEORANG lelaki nekad melanggar sebuah kereta penarik kereta yang menghalang laluannya.
Mohd Hasbi Sidek


Rawang: Seorang lelaki nekad mengundurkan keretanya dan merempuh kenderaan milik ‘geng tarik kereta’ berulang kali di sebuah kedai penghawa dingin di Rawang Mutiara, petang Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kumpulan penarik kereta itu dikatakan menghalang kereta Proton Saga FLX milik mangsa yang sedang diselenggara.

Video yang dirakam salah seorang penarik kereta itu didapati mulai tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Rakaman berdurasi seminit itu memaparkan pemilik kereta nekad mengundurkan keretanya sehingga merempuh kereta Proton Wira milik penarik kereta berulang kali.

Malah, jelas kedengaran jeritan seorang perempuan memakai tudung berwarna merah jambu dipercayai isteri kepada lelaki terbabit yang meminta lelaki menghentikan tindakan itu.

Selepas beberapa kali melanggar kenderaan milik penarik kenderaan itu, kereta Proton Saga FLX itu berjaya meloloskan diri dari lokasi berkenaan.

Kejadian turut menyebabkan kereta Proton Wira itu kemek di bahagian hadapan dan tepi sebelah kiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua pihak berhubung kejadian itu.

“Pemilik kereta Proton Saga FLX memaklumkan keretanya dihalang dari belakang sebelum dua daripada lima lelaki menghampirinya dan mahu merampas kunci kereta tanpa memperkenalkan diri.

“Berdasarkan laporan, lelaki itu terkejut dan takut dengan tindakan dua lelaki yang tidak dikenali itu dan bertindak mengundurkan kereta untuk melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 5:33 AM