ANTARA penunggang motosikal yang ditahan kerana positif dadah. FOTO ihsan AADK
ANTARA penunggang motosikal yang ditahan kerana positif dadah. FOTO ihsan AADK
Zulfa Mohamad


LIMA BELAS mat motor ditahan kerana positif dadah dalam Ops Perdana Gelombang Kedua di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan, Butterworth, hari ini.

Operasi bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari itu membabitkan sepasukan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seberang Prai Utara (SPU) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman (Peronda Sungai Petani-Bandar Baharu) diketuai Inspektor Fauzi Md Isa.

Dalam operasi itu, 17 penunggang motosikal diperiksa dan 15 daripadanya berusia antara 16 dan 41 tahun didapati positif dadah.

Pengarah AADK Pulau Pinang Mohd Azlan Mohd Nor berkata, daripada 15 yang ditahan, lima orang positif tetra hydro cannabinol (THC), positif heroin (7) dan syabu (3).

"Mereka yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Reman (PTR) Kampung Selamat untuk siasatan lanjut," katanya.

Selain itu, 35 saman dikeluarkan polis trafik atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 7:19 PM