Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan (kanan) menunjukkan peralatan dan skrip ‘Macau Scam’ yang dirmpas selepas 26 warga China di tahan di sebuah banglo di Vista Kirana di Ayer Keroh. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan (kanan) menunjukkan peralatan dan skrip ‘Macau Scam’ yang dirmpas selepas 26 warga China di tahan di sebuah banglo di Vista Kirana di Ayer Keroh. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
BERNAMA

POLIS Melaka menahan 29 warga China yang menjadikan banglo di Vista Kirana di Ayer Keroh di sini, sebagai pusat panggilan sindiket 'Macau Scam' membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta.

Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan berkata semua 26 lelaki dan tiga wanita warga China berusia 20 hingga 48 tahun itu ditahan ketika sedang mengendalikan pusat panggilan bagi sindiket berkenaan kira-kira 12.30 tengah hari pada 14 September lalu.

Beliau berkata berdasarkan risikan polis, pusat panggilan sindiket Macau Scam yang beroperasi 24 jam itu beroperasi kira-kira dua bulan lalu, dan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Hong Kong dan China.

"Anggota sindiket berkenaan menghubungi mangsa di Hong Kong dan China menggunakan 'Voice Over Internet Protocol' dengan meminda nombor pemanggil dan memperdaya mangsa menyatakan mereka memenangi cabutan bertuah jutaan dolar daripada syarikat di dua negara itu.

"Mangsa yang terpedaya perlu membuat sejumlah bayaran sebagai cukai dan insurans bagi memindahkan wang dimenangi ke dalam akaun mereka," katanya pada sidang media hari ini.

Abd Jalil berkata semua warga China berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan mereka tidak keluar dari banglo berkenaan dengan makan dan minum dihantar individu lain.

Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan telekomunikasi termasuk telefon, telefon bimbit dan skrip perbualan yang digunakan anggota sindiket untuk memperdaya mangsa.

Mengulas lanjut, katanya anggota sindiket berkenaan juga turut menyamar sebagai pegawai mahkamah atau polis Bukit Aman mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan haram seperti along, kongsi gelap dan pengedaran dadah.

Beliau berkata selain itu, anggota sindiket berkenaan juga mendakwa mereka sebagai pegawai bank dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit selain memperdaya mangsa dengan memberitahu anak mereka diculik.

"Sindiket berkenaan menggunakan akaun rakyat tempatan sebagai medium pemindahan wang mangsa,” katanya.

Semua mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 8:00 PM