ANGGOTA APM Beaufort membawa murid menaiki bot untuk menduduki peperiksaan UPSR di SK Lingkungan, Beaufort. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
ANGGOTA APM Beaufort membawa murid menaiki bot untuk menduduki peperiksaan UPSR di SK Lingkungan, Beaufort. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


LAPAN BELAS murid tahun enam dari Kampung Lingkungan terpaksa menaiki bot seawal 6 pagi untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lingkungan, Beaufort, hari ini.

Ini berikutan kawasan perkampungan berkenaan dinaiki air, susulan hujan lebat sejak semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort Mohd Mayroof Koibil berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk menghantar calon UPSR di kawasan terjejas dengan menggunakan bot.

"Selain itu, kita juga membantu menghantar 16 guru yang turut terbabit dalam peperiksaan berkenaan," katanya, hari ini.

ANGGOTA APM Beaufort membawa murid menaiki bot untuk menduduki peperiksaan UPSR di SK Lingkungan, Beaufort. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
ANGGOTA APM Beaufort membawa murid menaiki bot untuk menduduki peperiksaan UPSR di SK Lingkungan, Beaufort. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, Jalan Beaufort-Sipitang berhampiran SK Lingkungan masih dinaiki air dan pemantauan rapat masih dijalankan.

"Untuk makluman, setakat ini dua kampung iaitu Kampung Lingkungan Laut dan Kampung Lingkungan Ulu terjejas akibat banjir berkenaan sejak pagi tadi.

"Bagaimanapun tiada sebarang pusat pemindahan dibuka setakat ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Maimunah Suhaibul dalam kenyataan berkata, lima sekolah di daerah Beaufort iaitu SK Bukau, SK Maraba, SK Weston dan SK Lingkungan terjejas selepas laluanmemasuki sekolahberkenaan dinaiki air.

"Lima sekolah itu yang terbabit dalam banjir pada hari ini dengan membabitkan 692 murid dan 84 orang guru.

"Tiada sekolah yang ditutup dan peperiksaan UPSR tetap berjalan dengan biasa hasil bantuan daripada agensi kerajaan lain," katanya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 12:24 PM