Anggota polis menjalankan pemeriksaan di premis judi yang diserbu. FOTO ihsan polis
Anggota polis menjalankan pemeriksaan di premis judi yang diserbu. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 11 pelanggan yang leka bermain judi ditahan apabila premis perjudian di Jalan Landak dan Jalan Yap Kwang Seng di Kuala Lumpur diserbu polis, semalam.

Dalam operasi bermula 6.30 petang itu, pelanggan berusia 20 hingga 40 tahun ditahan di lima premis perjudian berasingan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, polis turut merampas 116 komputer dan wang berjumlah RM350.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima banyak laporan daripada orang awam berhubung aktiviti yang dijalankan sindiket perjudian.

"Ketika serbuan terdapat beberapa individu dipercayai 'jaga air' atau tonto yang sering menyalurkan maklumat kepada premis perjudian.

“Mereka sering membocorkan operasi yang dilakukan pihak berkuasa. Namun taktik yang digunakan mereka gagal," katanya.

Mohd Sukri berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4b(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 1:09 PM