AFHAM diiringi polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
AFHAM diiringi polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang banduan yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan berkaitan dadah berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan merogol gadis bawah umur hingga menyebabkan mangsa melahirkan seorang anak lelaki.

Tertuduh, Afham Solehuddin Anuar, 25, dari Kuala Berang, Hulu Terengganu mengangguk faham sebelum mohon dibicara ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun di gelanggang tenis di Kuala Berang jam 10 pagi pada 18 Mei 2013.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkod, mahkamah menetapkan 14 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh yang kini menjalani hukuman penjara kerana kesalahan dadah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hafizah Mohd Sokran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:24 AM