JANATHAN (tengah) menunjukkan barangan rampasan. FOTO Amniera Naziera Amran
JANATHAN (tengah) menunjukkan barangan rampasan. FOTO Amniera Naziera Amran
Amniera Naziera Amran


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan cubaan menyeludup kira- kira 8,000 kilogram (Kg) sisik tenggiling bernilai lebih RM100 juta melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu, 29 Julai lalu.

Pengarah JKDM Sabah, Datuk Dr Janathan Kandok berkata, sisik tenggiling terbabit cuba diseludup dalam 226 karung guni di dalam dua kotena.

"Berdasarkan kandungan guni itu, setiap karung berisi antara 30 dan 50 kg sisik tenggiling. Kita percaya sisk itu daripada 16,000 tenggiling," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi pihak terbabit adalah mengikrarkan sisik tenggiling itu sebagai cengkerang haiwan bagi mengelirukan anggota penguat kuasa.

"Sisik tenggiling itu dipercayai untuk dieksport ke China. Harganya di pasaran gelap dianggarkan AS$3,000 (RM12,887) sekilogram," katanya.

ANTARA sisik tenggiling yang dirampas. FOTO Amniera Naziera Amran
ANTARA sisik tenggiling yang dirampas. FOTO Amniera Naziera Amran

Janathan berkata, import sisik tenggiling dilarang mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 Butiran 1, Jadual Ketiga Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar danTaman Negara (Perhilitan).

"Sisik tenggiling juga tergolong di dalam larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali

dengan permit," katanya.

Menurutnya, susulan kejadian, suspek lelaki berusia 43 tahun dipercayai warga tempatan sudah ditahan bagi membantu siasatan.

"Ini adalah kejayaan terbesar JDKM Sabah tahun ini dalam mematahkan cubaan menyeludup sisik tenggiling di negeri ini.

"Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 2:12 PM