KERETA  dipandu jururawat terbabas yang menjadi tular di media sosial.
KERETA dipandu jururawat terbabas yang menjadi tular di media sosial.

Kota Tinggi: Kemalangan menimpa seorang jururawat selepas kereta Perodua Axia dipandu terbabas akibat stereng terkunci di FELDA Semenchu di sini, Ahad lalu adalah tidak benar.

Kejadian menimpa Saidatul Atikah Shabandi, 24, yang dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Semenchu dari FELCRA Sungai Layau itu menjadi tular di media sosial mengaitkan dengan masalah stereng terkunci secara tiba-tiba.

Ketua Polis Daerah Kota Superintendan Ashmon Bajah berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang yang menimpa jururawat berkenaan tidak ada kaitan dengan kegagalan stereng kenderaan dipandunya.

Sebaliknya, siasatan dijalankan polis mendapati pemandu mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas dari kiri jalan.

“Kejadian itu menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke kanan jalan dan menjunam beberapa meter di pekarangan sebuah rumah penduduk,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mengesahkan tiada penghuni rumah yang mengalami kecederaan dalam insiden itu.

Sementara itu, Ketua Kampung FELDA Semenchu, Omar Dean ketika dihubungi semalam mengakui insiden menimpa jururawat terbabit menarik perhatian orang ramai termasuk yang mengambil gambar dan menularkannya di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 3:56 AM