Mustapa melawat tapak projek PPR Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
Mustapa melawat tapak projek PPR Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


SEBANYAK RM554 juta diperuntukan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan lapan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kelantan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu sebanyak enam projek sudah berjalan itu di Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan dua di Machang.

Katanya, dua lagi projek di Ketereh sebanyak 200 unit dan Pasir Mas 280 unit masih lagi dalam perancangan.

"Dua daripada projek PPR yang dijalankan bertaraf mega yang membabitkan 1,000 unit rumah yang dibina di Kota Bharu dan Gua Musang.

"Projek PPR di Gua Musang siap sepenuhnya pada Jun 2014 membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM167 juta dan sudah diserahkan kepada penghuni manakala, projek di Kota Bharu yang menelan kos RM188 juta masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2018.

"Kerajaan juga menanggung subsidi lebih RM150,000 untuk setiap unit rumah PPR yang dijual dengan harga RM35,000," katanya ketika melakukan Lawatan Turun Padang Pengerusi MPTNg Kelantan di tapak projek PPR di Kota Bharu, hari ini

Menurutnya, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri menerima banyak permohonan daripada rakyat negeri ini yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan tidak mempunyai rumah sendiri.

"Untuk PPR Kota Bharu sahaja, pihak JPP menerima 4,400 permohonan sedangkan hanya 1,000 unit yang disediakan. Jadi kita terpaksa membuat pilihan.

"Rakyat Kelantan memerlukan tambahan rumah dan saya berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menambah peruntukan bagi pembinaan lebih banyak PPR selepas ini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 7:13 PM