Suhaimi  dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot kira-kira lima batu nautika dari pelantar Minyak Dulang Semangkuk B di perairan Kuala Terengganu pada Ahad lalu. FOTO Syafiq Ambak
Suhaimi dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot kira-kira lima batu nautika dari pelantar Minyak Dulang Semangkuk B di perairan Kuala Terengganu pada Ahad lalu. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI yang juga kaki pancing dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot kira-kira lima batu nautika dari Pelantar Minyak Dulang Semangkuk B di perairan Kuala Terengganu pada Ahad lalu.

Suhaimi Muhamad, 41, dari Kuala Lumpur dikatakan terjatuh kira-kira 4.30 petang ketika turun dari tingkat atas bot untuk ke bahagian dapur.

Sebelum itu, mangsa bersama 10 lagi rakannya dan tiga krew bot bertolak dari Jeti Kampung Batin, Seberang Takir pada pagi Sabtu untuk memancing.

Bagaimanapun, bot dinaiki mereka rosak ketika tiba di kawasan pelantar minyak berkenaan sebelum mendapatkan bantuan dengan membuat nyalaan lampu.

Difahamkan, ketika menunggu bantuan tiba, Suhaimi terjatuh dan usaha rakannya serta krew bot menyelamatkan mangsa gagal.

Sebaik jatuh, mangsa dikatakan cuba berenang ke bot tapi tidak berjaya kerana keadaan arus yang kuat.

Mangsa sempat menyambar dan berpaut pada jaket keselamatan yang dibaling sebelum terus hanyut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat mangsa sudah digerakkan pasukan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 7:46 PM