Muhammad Naim Hassan, 21, dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot dinaiki bersama rakan berhampiran Alor Janggus, Kedah, hari ini. - Foto Ihsan KELUARGA
Muhammad Naim Hassan, 21, dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot dinaiki bersama rakan berhampiran Alor Janggus, Kedah, hari ini. - Foto Ihsan KELUARGA
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG nelayan dikhuatiri lemas manakala rakannya terselamat selepas terjatuh dari bot yang dipercayai dipukul ombak ketika sebuah bot nelayan lain lalu berhampiran mereka berhampiran Kampung Sungai 2, Alor Janggus, Alor Setar, hari ini.

Sehingga 7 malam tadi, mangsa Mohd Naim Hassan, 21, masih belum ditemui dan operasi mencari oleh pasukan penyelamat disambung pagi esok.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.40 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi pada 1.06 tengah hari.

“Operasi diketuai Ketua BBP Alor Setar, Mohd Helmi Abu Husin bersama 25 anggota, dibantu dibantu empat anggota polis, lima anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan 11 anggota Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA)," katanya.

Mohamad Mustakim berkata, maklumat daripada ibu mangsa mendapati bot dinaiki mangsa bersama rakannya karam.

Namun katanya, rakan mangsa berjaya berenang kembali ke bot sebelum pulang ke jeti Kampung Lama Kuala Kedah untuk meminta bantuan.

Sementara itu, nelayan, Shukri Tayib, 40-an, berkata ombak yang terhasil daripada botnya dipercayai menyebabkan bot mangsa bergoyang dan kedua-dua mereka terjatuh ke dalam laut.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai keluar menangkap ikan pada 6.45 pagi, kira-kira tiga batu nautika dari pelantar Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 8:44 PM