TENGKU Adnan (tengah) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Platinum Victory, Gan Yu Chai (kanan) bersama  pembeli rumah, M Kalaichelvi memilih tapak unit RUMAWIP, semalam.
TENGKU Adnan (tengah) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Platinum Victory, Gan Yu Chai (kanan) bersama pembeli rumah, M Kalaichelvi memilih tapak unit RUMAWIP, semalam.
Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: “Rumah disita dan pembeli akan disenarai hitam daripada membeli mana-mana projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).”

Demikian amaran Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada mereka yang melakukan spekulasi dengan membeli perumahan berkenaan pada harga rendah dan menyewa atau menjualkannya kembali untuk mengaut keuntungan.

Beliau berkata, projek perumahan berkenaan disediakan kepada pembeli rumah pertama yang dinilai dari segi kemampuan malah seharusnya tinggal di rumah berkenaan.

“Kita tidak mahu ada yang melakukan spekulasi dengan membeli perumahan berkenaan pada harga rendah dan menyewa atau menjualkannya kembali,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit RUMAWIP Residensi Semarak Platinum, semalam.

Menurutnya, unit RUMAWIP yang disediakan turut menepati saranan Perdana Menteri untuk menyediakan kediaman awam yang bukan saja selesa, malah mampu dimiliki.

“Ia bertepatan dengan sasaran Perdana Menteri untuk memberi peluang kepada golongan muda memiliki hartanah di Wilayah Persekutuan pada harga lebih rendah dan berpatutan berbanding nilai pasaran.

“Sehingga Jun lalu, kita berjaya mencapai 59,600 unit atau 74.5 peratus daripada sasaran keseluruhan 80,000 unit yang ditetapkan menjelang 2020.

“Pembeli Residensi Semarak Platinum terikat dengan sekatan jualan atau moratorium selama 10 tahun bagi menjamin kepentingan golongan berpendapatan sederhana dan rendah dalam memiliki kediaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 5:43 AM