Mohd Firdaus Ibrahim


Bangi: Tindakan rejim Israel memasang pagar elektronik di pintu Masjid al-Aqsa bertujuan mewujudkan pengasingan waktu dan masa antara umat Islam dan penganut Yahudi bagi memasuki masjid suci berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad Ustaz Awang Suffian Awang Piut berkata, pelaksanaan keji berkenaan strategi jangka panjang mereka bagi menguasai sepenuhnya Masjid al-Aqsa.

“Pelaksanaan kawalan keselamatan ini bukan satu kebetulan disebabkan serangan yang berlaku. Ia rancangan jangka panjang mereka merampas masjid berkenaan bagi melaksanakan agenda lebih besar iaitu pembinaan kuil Yahudi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Aman Palestin Berhad di sini, semalam.

Terdahulu, Awang Suffian melancarkan Kempen Aqsa Solidariti Ummah bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin membebaskan Masjid al-Aqsa. Kemuncak kempen berkenaan dijadualkan berlangsung di Dataran Perbadanan Putrajaya, 5 Ogos ini.

Menurut Awang Suffian, sekiranya rakyat Palestin menerima penggunaan pagar elektronik itu, agenda rejim pasti berjaya.

“Sebab itulah umat Islam Malaysia perlu terus menyokong rakyat Palestin mempertahankan bumi al-Aqsa,” katanya.

Sementara itu, Duta Aman Palestin Farrah Adeeba Mohamed Ashraf berkata, sejarah di bumi Palestin jelas menunjukkan tiada penganut Yahudi ataupun bangsa Israel di sana.

“Disebabkan itu, Yahudi cuba mewujudkan sentimen agama mereka di sana dengan menjadikan tembok al-Aqsa sebagai tempat ibadat yang dikenali sebagai tembok ratapan. Ini agenda jangka panjang mereka merampas dan menguasai masjid suci berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Awang Suffian berkata, pelbagai program dirancang pihaknya sempena kempen dilancarkan pihaknya bagi membangkitkan kesedaran seluruh Muslim di negara ini.

“Ia (kempen) akan digerakkan melalui pelbagai medium seperti media sosial, cetak dan elektronik termasuk siri jelajah yang akan dilakukan di tempat terpilih.

“Kemuncaknya, 5 Ogos rakyat Malaysia dialu-alukan untuk memenuhi Dataran Perbadanan Putrajaya untuk berkumpul di sana sebagai solidariti kita terhadap Palestin,” katanya.

Katanya, Kempen Jom Menyumbang RM50 turut dilancarkan pihaknya dan sumbangan itu akan disalurkan kepada rakyat Palestin bagi mempertahankan masjid suci berkenaan.

“Ia adalah bagi membayar gaji penjaga Masjid al-Aqsa serta menampung cukai pintu yang tinggi dikenakan rejim Israel terhadap warga Palestin,” katanya.

Ketegangan di Masjid al-Aqsa bermula apabila Israel menghalang rakyat Palestin memasuki masjid berkenaan untuk solat Jumaat selepas kematian dua warganya.

Tiga rakyat Palestin kemudian dilaporkan ditembak mati tentera Israel sebagai tindak balas terhadap insiden berkenaan.

Dua hari selepas sekatan, Israel menarik semula larangan itu namun mengetatkan kawalan keselamatan dengan penggunaan pagar elektronik dan kamera CCTV.

Sebagai tanda protes, warga Palestin menunaikan solat di luar masjid berkenaan.

Malah, dalam pertembungan antara rakyat Palestin dan tentera Israel, 50 individu cedera selepas ditembak peluru getah serta gas pemedih mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 6:39 AM