ENAM pintu rumah sewa di bangunan dua tingkat di Jalan Chew Sik Hiong, Sibu, terbakar petang tadi. FOTO ihsan bomba
ENAM pintu rumah sewa di bangunan dua tingkat di Jalan Chew Sik Hiong, Sibu, terbakar petang tadi. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SERAMAI 33 penghuni daripada tujuh keluarga kini buntu selepas kediaman mereka di Jalan Chew Sik Hiong, Sibu, musnah dalam kebakaran petang ini.

Kebakaran 3.50 petang itu berlaku ketika kebanyakan penghuni berada di rumah masing-masing.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.02 petang daripada orang awam.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dibantu BBP Sungai Merah dikejarkan ke lokasi.

"Kebakaran menyebabkan enam pintu rumah sewa di bangunan dua tingkat itu musnah 60 peratus.

"Berdasarkan maklumat awal yang diterima, hanya tiga rumah mempunyai penghuni manakala tiga lagi kosong," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, api marak begitu cepat kerana struktur bangunan dibina menggunakan kayu.

Katanya, tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak memusnahkan keseluruhan struktur bangunan.

"Penghuni tidak sempat menyelamatkan barangan berharga kerana bimbang struktur rumah mereka runtuh ketika api sedang marak.

"Namun, semua penghuni sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan sebaik menyedari rumah mereka terbakar," katanya.

Difahamkan, bantuan awal untuk mangsa sudah dihulurkan agensi berkaitan selain kebanyakan daripada mereka kini tinggal sementara waktu di rumah saudara terdekat.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 9:33 PM