Azizan (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada pemandu Wafa Wahida Zainol di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Azizan (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada pemandu Wafa Wahida Zainol di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


SEBANYAK 2,020 kenderaan pelbagai jenis dibawa keluar dari Langkawi ke tanah besar oleh pemiliknya sempena cuti sempena Hari Raya Aidilfitri menerusi Dermaga Tanjung Lembong (DTL).

Pengerusi Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port), Datuk Azizan Noordin berkata, jumlah kenderaan yang dibawa keluar ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis itu, bagaimanapun berkurang 17 peratus berbanding tahun lalu.

"Semua kenderaan itu dibawa keluar menerusi 11 syarikat pengendali kargo dan perkhidmatan feri penumpang/kenderaan selama lima hari waktu puncak mulai hari ini dan berakhir Ahad ini.

"Sepanjang tempoh itu 2,020 kenderaan dibawa keluar dari pulau ini ke tanah besar dan jumlah itu berkurang berbanding 2,435 pada tahun lalu," katanya ditemui selepas merasmikan Program Selamat Pulang Perantau (PSPP) di DTL, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Langkawi Port, Muhd Nasir Abdul Aziz.

Pada majlis sama, Azizan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi mengetuai kakitangan Langkawi Port mengedarkan 100 cenderahati kepada pemandu kereta yang melalui kawasan pemeriksaan kastam di DTL.

Terdahulu, tinjauan mendapati lebih 500 pemilik kenderaan membanjiri dermaga itu seawal jam 7.30 pagi bagi menguruskan penghantaran kenderaan masing-masing untuk pulang bercuti.

Sementara itu, Muhd Nasir berkata, PSPP yang diadakan sejak empat tahun lalu bertujuan menambahkan keceriaan kepada warga Langkawi yang mahu keluar ke tanah besar.

"Ia juga sebagai penghargaan kepada pemandu kereta yang memberi kerjasama baik ketika berurusan dengan Langkawi Port yang juga pelabuhan tunggal di pulau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 1:25 PM