DARI kiri,  Dr Kamaruzzaman,    Dr Abdul Rahim dan  Abdul Muein pada  Bicara Persada di UKM,  semalam.
DARI kiri, Dr Kamaruzzaman, Dr Abdul Rahim dan Abdul Muein pada Bicara Persada di UKM, semalam.
Idris Musa


Bangi: Tidak ubah seperti budak nakal yang dibuli. Begitulah gambaran ringkas mengenai krisis Qatar yang dipencilkan negara jiran Arabnya membabitkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir.

Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahim Ahmad berkata, isu sebenar dalam krisis itu berkaitan kepentingan dan keseimbangan kuasa.

Menurutnya, sokongan negara itu terhadap Ikhwanul Muslimin yang dikaitkan dengan keganasan hanya sebagai alasan ingin berkrisis dan menidakkan pandangan dunia.

“Isu itu keseimbangan kuasa. Keseimbangan perlu ialah Iran adalah satu kuasa digeruni. Qatar dianggap sebagai budak nakal. Qatar mengambil pendirian menyokong Ikhwanul Muslimin,” katanya ketika mengulas isu berkaitan pemulauan ke atas Qatar dalam Bicara Persada di UKM, di sini, semalam.

Beliau seorang daripada tiga ahli panel dalam program bicara itu. Dua lagi ialah Prof Dr Kamaruzzaman Yusof dari Fakulti Ketamadunan Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM Abdul Muein Abadi. Moderator adalah Penerbit Eksekutif Astro Awani Nazri Kahar.

Arab Saudi, UAE, Bahrain dan sekutunya yang lain memutuskan hubungan dengan Qatar pada 5 Jun lalu.

Mereka menuduh peranan Qatar menyokong ekstremis sebagai punca negara itu diboikot. Doha bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Dr Kamaruzzaman berkata, ada sesuatu dimiliki Qatar tidak dimiliki negara lain, antaranya ibu pejabat Al-Jazeera di Doha, peranan Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi yang memberi nasihat kepada negara itu dan penajaan kelab bola sepak gergasi Sepanyol, Barcelona.

“Mereka memberi fokus kepada Qatar kerana mereka tahu akan menemui kegagalan jika mereka melakukan hal yang sama ke atas Turki dan Iran. Oleh kerana itu, mereka buli ‘budak nakal’ ini, mudah-mudahan ianya turut memberi kesan kepada Turki dan Iran,” katanya.

Berdepan dengan isu itu, beliau berharap Malaysia terus mengamalkan dasar berkecuali, bahkan sekiranya ingin menanganinya mestilah membabitkan penyertaan banyak pihak atau negara bukannya sebelah pihak saja.

“Namun, oleh kerana ia tidak membabitkan wilayah kita, biarlah Arab sama Arab. Biarlah mereka selesai.

“Kita (juga) mengharapkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berperanan bukan saja dalam isu Qatar tetapi isu Syria,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 7:45 AM