CHONG menceritakan berita penemuan suaminya kepada Ketua Balai Polis Dungun Assisten Superintendan Kamarul Mohamed Salleh.
CHONG menceritakan berita penemuan suaminya kepada Ketua Balai Polis Dungun Assisten Superintendan Kamarul Mohamed Salleh.
Rosli Ilham


Dungun: Enjin bot rosak dan dihanyutkan hingga ke perairan Kemaman menyebabkan tiga nelayan dari sini, tidak kembali ke rumah seperti biasa.

Bagaimanapun, Chang Chee Hoo, 36, Loh Chong Yong, 60, dan seorang lagi rakan dikenali sebagai Ah Chai, 58, ditemui selamat petang semalam oleh nelayan tempatan selepas 24 jam mereka ke laut menggunakan bot gentian kaca.

Sebelum itu, tiga nelayan itu dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi isteri Chang, Chong Yoke Lan, 34, selepas suaminya tidak pulang seperti biasa.

Chong berkata, suaminya dan dua rakannya keluar memancing dan menahan bubu, jam 11.30 pagi kelmarin menaiki bot gentian kaca milik suami dari Kuala Dungun.

Menurutnya, kebiasaannya suami akan pulang pada hari sama selepas keluar memancing, namun dia tidak pulang seperti biasa selain gagal dihubungi melalui telefon bimbitnya.

“Selepas dia masih tidak pulang tengah malam tadi, hati saya begitu risau, tambahan dia gagal dihubungi menerusi telefon bimbitnya.

“Saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pagi ini (semalam) untuk membuat laporan sebelum menerima panggilan telefon daripada suami memaklumkan mereka bertiga selamat.

“Suami memaklumkan bot mereka mengalami kerosakan enjin sejak semalam (kelmarin) dan hanyut sebelum ditemui kumpulan nelayan tempatan di perairan Kemaman,” katanya.

Katanya, bot nelayan itu menunda bot suami ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga nelayan selamat.

Menurutnya, mereka ditemui bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan itu jam 3.15 petang sebelum mereka tiba di Jeti LKIM Kemaman pada jam 6 petang semalam.

Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 9 Terengganu mengerakkan aset selepas menerima maklumat mengenai kehilangan nelayan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 5:30 AM