Nabihah Kamal

 [email protected] 

 

NETIZEN turut berkongsi pengalaman ketika menggunakan laluan KM25 Jalan Bahau-Keratong , dekat Jempol, lokasi lapan terbunuh dalam kemalangan empat kenderaan.

Antara yang dinyatakan dalam komen berita berkaitan tragedi itu di Facebook (FB) Harian Metro, jalan sempit, tiada lampu dan banyak kenderaan berat menyebabkan pengguna jalan raya lain terpaksa memperlahankan kenderaan untuk memberi ruang kepada kenderaan berat itu.

 Pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Aishah Zakaria berkata, dia sering menggunakan jalan berkenaan untuk menghantar adiknya ke Universiti Malaysia Pahang (UMP).

 "Dulu selalu ulang alik di Jalan Keratong itu hantar adik belajar di UMP. Memang lori kat situ selalu memandu laju.. jalan sempit...

“Hati-hati lah semua yang lalu sana," katanya.

 Menurut Maa Ibrahim pula, ia adalah jalan utama yang digunakan untuk balik ke kampungnya di Seremban.

 "Adakalanya kami terpaksa perlahankan kenderaan apabila lori besar lalu sebab jalan di sana sempit. Kami yang berada dalam kenderaan takut kalau sebelah dan di belakang ada lori," katanya.

Armida Rosli Cinda pula berkata, jalan di kawasan berkenaan sempit dan gelap.

 "Memang jalan itu sempit, lebih-lebih waktu malam kerana jalan itu gelap. Apabila selisih dengan lori besar, mereka 'makan' jalan sebelah.

“Seelok-eloknya jalan ini diperbesarkan dan lampu perlu dipasang," katanya.

Dalam kejadian itu, enam beranak daripada lapan mangsa yang maut itu rentung. Enam beranak itu menaiki Proton Exora, manakala dua lagi yang maut menaiki Perodu Myvi.

Dua lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah treler dan Toyota Vios

Susulan itu, pemandu treler berusia 44 tahun direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 10:51 PM