Nahas empat kenderaan yang mengorbankan lapan orang termasuk enam rentung di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong, Jempol, hari  ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap dan Iqmal Haqim Rosman
Nahas empat kenderaan yang mengorbankan lapan orang termasuk enam rentung di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong, Jempol, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap dan Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim dan Abnor Hamizam Abd Manap


“Setiba di lokasi, saya ternampak api mula marak membakar sebuah kereta iaitu Proton Exora sebelum bergegas ke lori untuk mengambil pemadam api, namun gagal memadamkan kebakaran itu kerana api marak begitu cepat.

“Saya langsung tidak mendengar sebarang jeritan dan tidak dapat melihat sesiapa dalam kereta Proton Exora kerana kenderaan ini berada betul-betul di bawah treler,” kata pemandu lori dikenali sebagai Man, berusia 30-an.

Man antara saksi kemalangan maut meragut lapan nyawa termasuk enam rentung dipercayai satu keluarga dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 25 Jalan Bahau- Keratong, dekat Ladang Risda Palong, di sini, 2.30 petang hari ini.

Menurutnya, dia terkilan kerana tidak dapat membantu menyelamatkan mangsa yang di dalam Proton Exora.

Katanya, pemadam api yang digunakan tidak dapat memadamkan kebakaran itu.

Setakat ini, mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Myvi dikenali sebagai Osman Mohamed Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32, manakala enam yang rentung dipercayai satu keluarga belum dikenal pasti identitinya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, anggota bomba mengambil masa lebih lima jam untuk mengeluarkan semua enam mangsa yang rentung dalam Proton Exora berkenaan yang turut terbakar selepas dihempap treler berkenaan.

“Bomba mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa. Kami terpaksa mendapatkan bantuan kren untuk mengangkat treler bagi membolehkan operasi mengeluarkan semua mangsa dijalankan.

“Pada awalnya bomba mendapat maklumat tiga mangsa di dalam kenderaan itu, namun apabila kita berjaya mengeluarkan mangsa kita dapati terdapat lapan mangsa di dalam kenderaan itu,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Bahau dan Keratong terbabit dalam operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 10:23 PM