Anggota APM Kota Belud menangkap ular tedung senduk di Kampung Siasai. FOTO Recqueal Raimi
Anggota APM Kota Belud menangkap ular tedung senduk di Kampung Siasai. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

 

Kota Belud: Seorang lelaki bernasib baik apabila berjaya mengelak daripada dipatuk ular tedung senduk di bilik mandi di rumahnya di Jalan Tamu, Kampung Siasai di Kota Belud di sini, jam 8.50 pagi hari ini.

Rizuan Jumat, 26, berkata, ketika kejadian, dia mahu masuk ke bilik air sebelum terlihat reptilia itu.

“Saya terkejut kerana ular sepanjang kira-kira satu meter itu cuba mematuk namun saya dapat mengelak. Jika sebaliknya, saya tidak tahu apa akan menimpa saya,” katanya ketika dihubungi.

Rizuan kemudiannya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Pegawai APM Kota Belud Paulina Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 9 pagi.

“Empat anggota diketuai Ketua Skuad Abu Samah Ahmad dikejarkan ke lokasi dan tiba sembilan minit kemudian.

“Kami dapat menangkap reptilia seberat kira-kira setengah kilogram itu dengan peralatan khas. Operasi tamat sepenuhnya jam 9.15 pagi,” katanya.

Ular itu dibawa ke pejabat APM Kota Belud untuk tindakan lanjut.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 3:11 PM