Norrasyidah Arshad


Shah Alam: Mahkamah Rayuan Syariah di sini, semalam menolak rayuan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan ke atas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa menuduhnya meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh yang mempengerusikan panel tiga hakim memutuskan perkara itu selepas mendapati tuduhan liwat tidak terpakai dalam kes qazaf mengikut Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang hanya memperuntukkan kes pertuduhan zina.

“Oleh yang demikian, kami bersetuju terhadap keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor yang sudah menolak aduan perayu walaupun alasan penghakiman dalam membuat keputusan adalah kurang tepat atau khilaf.

“Selepas meneliti notis rayuan, alasan rayuan, rekod rayuan, penghujahan perayu, kami memutuskan rayuan perayu ditolak dan keputusan mahkamah pada 27 Oktober tahun lalu itu dikekalkan,” katanya.

Dua lagi panel hakim bagi kes itu ialah Hakim Datuk Aidi Moktar dan Datuk Mukhyuddin Ibrahim.

Ketika membacakan penghakimannya, Md Yusop turut meminta badan perundangan negeri meminda Seksyen 36 itu bagi membolehkan seseorang yang menuduh orang lain melakukan perbuatan liwat dituduh di mahkamah.

Pada Oktober lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Mohamed Fouzi Mokhtar menolak permohonan sama selepas mendapati ia tidak mempunyai bidang kuasa mendengar prosiding membabitkan kesalahan liwat.

Pada 26 Jun 2015, Anwar memfailkan aduan qazaf di Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden PKR.

Muhammad Shafee didakwa menuduh Anwar melakukan liwat dengan bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari tanpa mengemukakan empat saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Anwar) seperti diwajibkan oleh undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 7:46 AM