anak   pokok ketum yang disemai di rumah dalam pembinaan.
anak pokok ketum yang disemai di rumah dalam pembinaan.
myMetro

Kulim: Penemuan 200 anak pokok ketum di dalam beg semaian di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Bendang Sara, Terap di sini menimbulkan tanda tanya kemungkinan wujudnya aktiviti penjualan tanaman itu.

Bukti itu ditemui anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang melakukan Operasi Perdana AADK di kampung berkenaan semalam dan berjaya menahan sembilan lelaki berusia 20 hingga 45 tahun disyaki penagih.

Ketua Operasi, Sabarinah Aliuddin berkata, terdahulu pihaknya menjalankan intipan di kampung itu yang disyaki menjadi sarang penagihan dadah sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, dalam operasi bermula jam 8 pagi membabitkan 15 anggota AADK Kulim dan Bandar Baharu itu, pihaknya menahan dua lelaki di sebuah rumah dan sebelum menyerbu sebuah rumah lagi dalam pembinaan di hujung kampung berhampiran kebun getah.

“Ketika serbuan, kami menahan dua lelaki di dalam rumah terbabit dan pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan menghisap dadah serta bekas plastik berisi tiub straw.

“Pemeriksaan di luar rumah itu kami menemui 200 anak pokok ketum dalam beg semaian yang ditutup plastik hitam disyaki untuk dijual,” katanya ditemui dalam operasi itu semalam.

Turut hadir Pegawai AADK daerah Bandar Baharu, Junaidah Hassan; Ketua Operasi dan Risikan AADK Daerah Bandar Baharu, Sama Jamal Md Lazim dan Ketua Operasi dan Risikan AADK Daerah Kulim, Rozaidi Ismail.

Sabarinah berkata, pihaknya turut berdepan dengan kehadiran seekor anjing pengawal yang diikat pada satu kabel besi sepanjang 10 meter berdekatan rumah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 2:20 AM