Mohd Hilmie Hussin


ANGGOTA tentera berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini, atas 79 pertuduhan salah guna harta Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) berjumlah RM50,238.10, tahun lalu.

Tertuduh, Musa Md Dawi, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-79, tertuduh didakwa dengan curang menyalahguna harta iaitu peruntukan pembayaran Pulpak dengan mencipta bayaran baucar membabitkan jumlah keseluruhan RM50,238.10 ke akau bank miliknya dan milik dua individu berbeza.

Tindakan itu dilakukannya di Pejabat Belanjawan Pulpak, Kem Sungai Udang, Alor Gajah, sekitar 25 April 2016 hingga 1 Julai 2016.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 5 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ong Cheng Hian mencadangkan tertuduh dibenar jamin dengan RM2,000 bagi setiap pertuduhan, drngan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana berada bawah tahanan kem selain menanggung ibu bapa dan isteri yang tidak berkerja.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jun ini bagi tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 5:28 PM
PEGAWAI SPRM mengiringi tertuduh (tengah) keluar dari mahkamah. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
PEGAWAI SPRM mengiringi tertuduh (tengah) keluar dari mahkamah. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber