NOR Asiah  ditenangkan oleh polis mahkamah, semalam.
NOR Asiah ditenangkan oleh polis mahkamah, semalam.
Sarah Zulkifli

Ampang: Seorang wanita yang didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan mendera anak angkat perempuannya yang berusia lima tahun mengamuk dan menjerit secara tiba-tiba akibat berang wajahnya dirakam media.

Tindakan tertuduh Nor Asiah Mohamed Ali, 49, menyebabkan suasana tenang pekarangan mahkamah menjadi kecoh menyebabkan polis dan kakitangan mahkamah membawa wanita itu keluar melalui pintu belakang.

Terdahulu, Nor Asiah menukar pengakuan bersalah atas tuduhan mendera anak angkatnya selepas dakwaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus dan dia didenda RM8,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berkenaan di Tadika An-Nur, No 1 Jalan Bukit Indah 2/17, Taman Bukit Indah, di sini, dari 2015 hingga 8 April tahun lalu.

Wanita yang bekerja sebagai pengasuh di tadika itu dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela Samry Masri memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh menghadapi masalah kemurungan yang kronik dan sedang menjalani rawatan di Hospital Ampang.

“Selain itu, tertuduh juga mengaku salah ketika perbicaraan berlangsung dengan tiga orang saksi pendakwaan yang dipanggil dan tertuduh menyesal dengan perbuatannya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi yang mewakili pendakwaan memohon hukuman berat disebabkan tertuduh adalah penjaga kepada kanak-kanak itu dan walaupun tertuduh menghadapi pelbagai masalah namun itu tidak boleh dijadikan alasan (kemarahan) untuk dilepaskan kepada kanak-kanak yang tidak bersalah.

Mengikut fakta kes, pada 11 April 2016 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat maklumat mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang didera di Tadika An Nur dan kemudian telah ke tadika terbabit pada hari sama.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh dikatakan menggigit, menjentik dan mencubit kanak-kanak perempuan itu berkali-kali hingga mangsa kemudian dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:26 AM