JASAD pemandu kereta yang dihanyutkan banjir kilat ke Sungai Gadut ditemui di Sungai Linggi, semalam.
JASAD pemandu kereta yang dihanyutkan banjir kilat ke Sungai Gadut ditemui di Sungai Linggi, semalam.

Seremban: Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat akhirnya mayat pengawal keselamatan yang dihanyutkan arus deras di Jalan Rantau-Sungai Gadut, di sini, Sabtu lalu ditemui di Sungai Linggi, dekat sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, mayat mangsa R Sri Durai, 48, ditemui 25 kilometer (km) dari lokasi kejadian, jam 11.20 pagi.

Menurutnya, operasi membabitkan 34 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menemui mayat mangsa di Sungai Linggi berhampiran Pekan Linggi, Port Dickson, dekat sini.

“Jarak penemuan mayat mangsa 25km dari lokasi dihanyutkan dan kami turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan. Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa memandu Proton Saga FLX untuk menghantar rakannya pulang ke Rantau sebelum keretanya terperangkap akibat banjir kilat lalu dibawa arus deras hingga memasuki Sungai Simen.

Rakan mangsa berusia 35 tahun berjaya menyelamatkan diri namun Durai gagal keluar daripada kenderaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:56 AM