Azhar Ibrahim membersihkan peralatan masjid akibat banjir kilat yang melanda Masjid Kuala Sawah, Rantau kelmarin. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Azhar Ibrahim membersihkan peralatan masjid akibat banjir kilat yang melanda Masjid Kuala Sawah, Rantau kelmarin. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
BERNAMA

Seremban: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sega Hilir, Rantau di sini, kekal 86 orang membabitkan 19 keluarga setakat 9 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata, kesemua mangsa dari Kampung Sega Hilir, Kampung Kuala Sawah dan Kampung Pasir masih tidak dibenarkan pulang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Keadaan ketika ini adalah terkawal dan air di kediaman mangsa sudah pun surut selain kerja-kerja pembersihan kediaman sedang dilaksanakan.

"Kebenaran untuk kesemua mangsa pulang hanya dapat diputuskan petang nanti, bergantung kepada keadaan cuaca dan kebenaran Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Semalam, PPS Balai Raya Kampung Linggi, Port Dickson yang menempatkan 39 penghuni Kompleks Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad ditutup sepenuhnya selepas banjir di kawasan terjejas pulih.

Dalam kejadian banjir pada Rabu lalu, 15 kawasan di Seremban, Rembau serta Port Dickson terjejas susulan hujan lebat sejak tengah malam, namun air banjir mulai surut di kebanyakan kawasan pada sebelah petangnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai dihanyutkan arus dalam kejadian banjir di Taman Happy, Rasah pada Rabu diteruskan hari ini dengan pencarian tertumpu di kawasan tebing Sungai Linggi dan lombong berhampiran sejauh 12 kilometer di Kuala Sawah, Rantau.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar ketika dihubungi berkata, operasi yang memasuki hari ketiga, hari ini bermula pada 8 pagi membabitkan seramai 50 anggota SAR.

"Pencarian dari hari pertama hingga semalam meliputi jarak sejauh 40 kilometer di sepanjang Sungai Linggi bermula dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

"Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM yang digunakan semalam juga tidak menemui petunjuk positif.

"Hari ini, berkemungkinan hari terakhir operasi SAR dan akan ditangguhkan sementara sekiranya tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan termasuk laporan polis mengenai kehilangan mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 10:42 AM