Mohamed  (kiri) bertukar MoU dengan Kamarul Zaman ketika  melancarkan kempen ‘Somalia Relief 2017’.
Mohamed (kiri) bertukar MoU dengan Kamarul Zaman ketika melancarkan kempen ‘Somalia Relief 2017’.
Ardyhansah Amat


Serdang: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) sekali lagi mengorak langkah dalam meluaskan program bantuan kemanusiaan apabila melancarkan kempen ‘Somalia Relief 2017’ (SR2017), di sini, semalam.

Pengerusinya Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, pihaknya merancang untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke negara berkenaan yang mengalami masalah kebuluran akibat perang saudara dan kemarau berpanjangan sejak 1990-an.

“Sebagai permulaan, MyCARE akan menghantar lapan delegasi terdiri daripada doktor perubatan, jurutera dan media pada 26 April sehingga 2 Mei depan dalam usaha menyalurkan bantuan kepada lebih 12,000 penduduk termasuk kanak-kanak di beberapa kem pelarian di sana.

“Sehubungan itu, MyCARE menjalin kerjasama dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu KL Ghaith Berhad (KLGhaith) dan African Relief Committee (ARF) melancarkan kempen SR2017 yang menyasarkan kutipan RM500,000 untuk disalurkan ke negara bergolak berkenaan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyCARE yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Zaman Shaharul Anwar dan Ketua Pengarah KLGhaith, Mohamed Ahmed Fouad.

Tambah Hafidzi, sebelum ini, pihaknya terbabit dengan misi kemanusiaan di beberapa negara timur tengah dan kawasan Asia Tenggara, sebelum mengambil keputusan ke Somalia.

“Bantuan akan difokuskan kepada keperluan bekalan air bersih, makanan termasuk membabitkan lebih 2,000 kanak-kanak dan perubatan khususnya di kawasan Somaliland.

“Selain itu, misi kemanusiaan ini juga bertujuan memantau proses penyaluran bantuan selain mengenal pasti projek jangka masa panjang yang boleh dilaksanakan di sana,” katanya.

Sementara itu Mohamed berkata, pihaknya menyambut baik usaha MyCARE yang sanggup turun padang membantu masyarakat Somalia yang kini dalam penderitaan.

“Selain berdepan risiko serangan kumpulan pengganas, penduduk di sana juga terputus bekalan makanan terutamanya membabitkan bekalan air bersih sekali gus menyebabkan jumlah kematian yang tinggi.

“Keadaan bertambah teruk apabila mereka turut berdepan ancaman penyakit seperti wabak taun, cirit-birit dan demam campak, yang lazimnya berlaku ketika krisis kebuluran,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, krisis kebuluran pada 1992 menyaksikan lebih 300,000 penduduk Somalia terkorban manakala 260,000 lagi maut apabila krisis yang sama berlaku enam tahun lalu.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan bantuan dana atas nama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) melalui akaun Maybank (551575004299), CIMB ISLAMIC (8602135592) dan Bank Islam (12092010034904) atau boleh menghubungi talian MyCARE 03-89412341 untuk pertanyaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:19 AM