ANTARA yang ditahan dalam Ops Cegah Jenayah di sekitar Setapak.
ANTARA yang ditahan dalam Ops Cegah Jenayah di sekitar Setapak.

Wangsa Maju: Dia erpaksa ambil dadah untuk fokus pada tugas. Itu alasan tidak masuk akal diberikan seorang konstabel polis bantuan sebuah hospital awam yang ditahan sejurus didapati positif dadah.

Lelaki berusia 30 tahun itu antara 18 individu ditahan ketika pemeriksaan Ops Cegah Jenayah yang diketuai Ketua Polis Balai Setapak Asisten Superintendan Wee Bee Seng bersama 17 anggota di sekitar Setapak, di sini.

Dalam operasi bermula jam 2 petang kelmarin, suspek mengaku sering mengambil dadah untuk menghilangkan perasaan mengantuk ketika kerja selain bagi menghilangkan ‘stress’ di tempat kerjanya.

Dia juga mendakwa baru saja mula berjinak dengan dadah jenis syabu sejak setahun lalu.

Namun, apa pun alasan yang diberikan tidak mampu membantunya melepaskan diri daripada ditahan polis.

Hasil operasi yang dijalankan selama enam jam itu, seramai 14 penagih dadah berjaya ditahan manakala dua lagi diberkas kerana memiliki motosikal curi.

Seorang lelaki turut ditahan selepas didapati berada dalam senarai dikehendaki polis berhubung kes dadah di Alor Setar, Kedah.

Seorang lagi suspek ditahan kerana memiliki tiga tiub dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Muhamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek terbabit.

Katanya, siasatan lanjut membabitkan semua individu berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun itu sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 6:04 AM