SUSPEK yang menyamar pegawai SPRM dibawa ke mahkamah untuk direman, semalam
SUSPEK yang menyamar pegawai SPRM dibawa ke mahkamah untuk direman, semalam
Mohd Husni Mod Noor dan Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menawarkan khidmat ‘bersih nama’ dengan bayaran antara RM5,000 dan RM20,000.

Itu antara kegiatan jenayah dilakukan tiga suspek termasuk seorang wanita yang mendakwa kononnya boleh menutup kes berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram.

Semua suspek bagaimanapun ditahan dalam dua operasi berasingan di Sepang dan Melaka sejak kelmarin.

Menurut sumber, dalam tangkapan pertama di KLIA2, Sepang kira-kira jam 3 petang, dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 61 tahun ditahan.

“Suspek dipercayai cuba memperdaya seorang lelaki menerusi panggilan telefon kononnya mangsa disiasat SPRM kerana dipercayai terbabit dalam kesalahan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Suspek kemudian meminta bayaran RM20,000 bagi menutup kes itu,” katanya.

Menurutnya, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 dan tiga telefon pintar yang ditemui bersama-sama suspek.

“Dalam tangkapan kedua di Alor Gajah, Melaka, kira-kira jam 1.30 pagi semalam, SPRM menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang menyamar sebagai pegawai SPRM dan mendakwa bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Dia cuba memperdaya beberapa individu bagi mendapatkan wang sogokan. Ibu tunggal kepada lima anak itu menghubungi beberapa individu dan mendakwa kononnya SPRM membuka kertas siasatan terhadap mereka,” katanya.

Dia mendakwa boleh membantu mangsa menyelesaikan kes itu dengan meminta bayaran antara RM5,000 ke RM20,000 kononnya untuk diberikan kepada beberapa pegawai tertinggi SPRM sebagai balasan bagi menutup kes berkenaan.

“Namun berdasarkan siasatan, wanita itu bukan pegawai SPRM dan fail atau kertas siasatan yang kononnya dibuka terhadap mangsa rekaan semata-mata.

“Malah dakwaan wang rasuah diminta pihak pengurusan tertinggi SPRM bagi menutup kes dan kertas siasatan juga tidak benar,” katanya.

Sumber berkata, wanita itu menjadikan pegawai yang memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan di seluruh negara sebagai mangsa dan mendapatkan maklumat berkaitan rasuah menerusi media termasuk media sosial.

“SPRM berusahan mengesan seorang lagi rakan jenayah suspek yang dipercayai melarikan diri,” katanya.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan sedemikian untuk menghubungi SPRM bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:21 AM