FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Dua lelaki yang juga penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki meminta wang suapan RM20,000 sebagai balasan untuk menutup satu kes siasatan berkaitan dokumen palsu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 30-an itu dipercayai meminta wang daripada seorang lelaki atas dakwaan menggunakan dokumen palsu dalam perjanjian sewaan rumah membabitkan wang berjumlah RM4,000.

Sumber berkata, suspek pertama ditahan di sebuah restoran pada 4 petang hari ini, manakala suspek kedua ditahan pada 6 petang di sekitar Gombak.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang juruwang kedai makan berusia 21 tahun ditahan kerana dipercayai menerima rasuah RM15,000 ke dalam akaunnya.

Menurut sumber, wang itu adalah bayaran memproses untuk mendapatkan kad pengenalan pemastautin tetap seorang lelaki warga Bangladesh.

"Wang yang dipindahkan ke dalam akaun juruwang wanita berkenaan adalah bayaran kepada dua lelaki tempatan kononnya sebahagian daripada wang itu akan diberikan kepada pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan proses kelulusan," katanya.

Wanita terbabit ditahan pada 4 petang hari ini di Pejabat SPRM Selangor dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok untuk permohonan reman bagi siasatan kes mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 10:26 PM