DUA pemuda   terbunuh apabila motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 48, Jalan Besar FELDA Jengka 14.
DUA pemuda terbunuh apabila motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 48, Jalan Besar FELDA Jengka 14.

Maran: Dua lelaki terbunuh apabila motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 48, Jalan Besar FELDA Jengka 14, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu mangsa, Ahmad Fitri Mohd Nor, 18, dari FELDA Jengka 14 dan Mohamad Amirol Hafiz Mohd Nazri, 19, dari FELDA Jengka 15, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 19 tahun berkonvoi bersama empat motosikal dalam perjalanan dari arah FELDA Jengka 15 ke Bandar Jengka.

“Ketika tiba di tempat kejadian, Mohamad Amirol Hafiz yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 dari belakang cuba memotong tiga motosikal berkonvoi bersamanya masuk ke laluan bertentangan.

“Dia berlanggar dengan penunggang motosikal jenis Yamaha SS iaitu Ahmad Fitri yang datang dari arah Bandar Jengka ke Jengka 15.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan lalu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan,” katanya di sini, semalam.

Mat Rizal berkata, pada masa sama seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, Aimal Razali Abdullah, 19, beralamat di FELDA Jengka 15, yang dalam perjalanan dari FELDA berkenaan ke Bandar Jengka tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal Yamaha SS itu.

Katanya, penunggang Yamaha RXZ cedera dan dibawa ke Hospital Jengka, di sini, untuk rawatan.

“Manakala, kedua-dua mangsa yang terbunuh turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:13 AM