KEADAAN kereta yang remuk selepas terbabit kemalangan di Jalan Besar Jengka 10,  semalam.
KEADAAN kereta yang remuk selepas terbabit kemalangan di Jalan Besar Jengka 10, semalam.
Shahrul Nizam Mohamad


Maran: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke gaung lalu merempuh sebatang pokok kelapa sawit selepas terbabas di Jalan Besar Jengka 10, Bandar Jengka, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi, pemandu kereta, Yusuf Mohd, 25, dari FELDA Mawar, Jengka 10, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Dua rakannya iaitu penumpang depan, Abdul Aziz Mohd Sukri, 19, dan penumpang belakang Mohamad Faisal Mohd Sabri, 19, mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri dengan masing-masing menerima tujuh dan lima jahitan.

Difahamkan, ketika kejadian Yusuf dalam perjalanan dari Bandar Pusat Jengka untuk pulang ke rumahnya di Jengka 10 bersama dua rakannya itu.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, kereta berkenaan terbabas ketika tiba di lokasi kejadian selepas melepasi satu selekoh kerana dipercayai pemandunya terlelap ketika memandu.

“Abdul Aziz yang ketika itu sedang bermain telefon bimbit menyedari kereta dipandu Yusuf terbabas ke bahu jalan sebelah kanan lalu menjerit menyebabkan Yusuf yang dipercayai terlelap terus memaut stereng cuba memasuki laluannya semula tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kereta itu menggelongsor dan terjunam ke gaung. Pada masa sama Abdul Aziz membuka pintu lalu terjun sebelum kereta berkenaan merempuh sebatang pokok kelapa sawit hingga menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terputus dua.

Mat Rizal berkata, mayat Yusuf dibawa ke Hospital Jengka, di sini, untuk dibedah siasat manakala rakannya mendapatkan rawatan di hospital sama sebelum dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 9:01 AM