PUTERI yang bergantung pada tong gas oksigen  gembira membaca kisahnya  di SK Lukut.
PUTERI yang bergantung pada tong gas oksigen gembira membaca kisahnya di SK Lukut.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: “Puteri gembira selepas berita mengenainya keluar dalam Harian Metro. Berkali-kali dia membaca berita itu,” kata Halimatun Seman, 44, ibu murid tahun satu Puteri Nur Zulaika Abdullah @ Mat Ali, 7, yang mengalami masalah paru-paru lemah dan bergantung kepada tabung oksigen sepanjang masa, semalam.

Menurut Halimatun, Puteri Nur Zulaika bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut, di sini, begitu bersemangat untuk belajar seperti rakan seusianya.

“Saya terima banyak panggilan bertanyakan mengenai dia, malah ada meminta nombor akaun untuk memberi sumbangan.

“Terima kasih kepada Harian Metro yang menyiarkan kisah Puteri hingga mendapat liputan meluas.

“Saya berharap impian Puteri untuk memiliki beg gas oksigen bernilai lebih RM27,000 tercapai bagi memudahkannya ke sekolah setiap hari.

“Tak perlulah kami mengusung tong gas dan alat khas setiap hari,” katanya yang turut ditemani suami Mat Ali Md Yusof, 49, yang bekerja sebagai pemotong rumput.

Puteri Nur Zulaika, anak bongsu daripada empat beradik mengalami masalah kesihatan sejak berusia lima bulan.

Sejak itu kanak-kanak terbabit tidak pernah berenggang dengan tong oksigen dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan 1 sekolah itu Norlela Jailani berkata, pihak sekolah mengambil inisiatif menjaga kebajikan murid berkenaan dengan menempatkannya dalam kelas paling kurang murid.

“Tahun ini kami terpaksa membuka lima kelas tahun satu berbanding empat seperti tahun sebelumnya. Puteri adalah murid istimewa di SK Lukut dan pihak sekolah akan cuba menjaga kebajikannya sebaik mungkin.

“Saya sudah memberitahu ibu dan guru kelasnya supaya Puteri tidak perlu turun ke kantin atau melakukan sebarang aktiviti di luar kelas.

“Makanan dan minuman akan dihantar terus ke kelas setiap hari,” katanya.

Harian Metro Isnin lalu memaparkan kisah Puteri Nur Zulaika yang terpaksa membawa tong gas oksigen selepas menghidap paru-paru lemah ketika mendaftar di SK Lukut.

Orang ramai ingin menyumbang bolehlah melalui akaun Bank Rakyat 220562256137 atas nama Halimatun Seman atau menghubunginya melalui talian 017-6144836.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:08 AM