PUTERI ditemani ibu yang membawa tong gas oksigen ketika mendaftar.
PUTERI ditemani ibu yang membawa tong gas oksigen ketika mendaftar.
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Dalam suasana riuh rendah dan keriangan murid Tahun Satu mendaftar untuk sesi persekolahan baru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut di sini, terlihat seorang kanak-kanak perempuan duduk ditemani ibu di satu sudut.

Di tengah-tengah mereka pula adalah ‘nyawa’ kanak-kanak terbabit yang diletakkan dalam beg hitam berisi tabung oksigen yang akan menjadi peneman setianya di sekolah, selepas ini.

Puteri Nur Zulaika Abdullah, 7, menghidap penyakit paru-paru lemah sejak berusia lima bulan dan memerlukan bantuan oksigen sepanjang masa.

Ibunya, Halimatun Seman, 44, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu bersemangat untuk memulakan persekolahan meskipun dia terpaksa membawa tabung oksigen seberat lima kilogram itu, setiap hari.

Menceritakan penderitaan dialami Puteri Nur Zulaika, Halimatun berkata, anaknya itu dilahirkan normal tetapi dijangkiti virus kencing tikus atau leptospirosis ketika berusia lima bulan.

“Pada mulanya anak lelaki berusia 17 tahun disyaki dijangkiti penyakit itu sebelum merebak kepada Puteri. Puteri dimasukkan ke hospital dan doktor memberitahu ada kuman dalam paru-paru. Sejak itu, dia bergantung dengan bantuan oksigen.

“Kami juga berulang-alik tiga kali sebulan ke Seri Kembangan, Serdang untuk mengisi gas. Doktor menyarankan saya membeli mesin oksigen berharga RM27,000 yang mudah dibawa tetapi kami tidak mampu kerana suami hanya bekerja sebagai pemotong rumput,” katanya ditemui selepas mendaftar anaknya di sekolah itu, kelmarin.

Halimatun berkata, dia akan menemani Puteri sepanjang hari bagi tempoh seminggu persekolahan untuk memantau dan melihat keadaan anaknya itu.

“Puteri akan penat dan lelah sekiranya dia kekurangan oksigen. Oleh itu, saya perlu memantau keadaannya di peringkat awal dan apabila dia sudah biasa dengan keadaan di sekolah, saya tidak perlu lagi menemaninya sepanjang hari,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia akan menghantar Puteri ke sekolah setiap hari kerana perlu membantu mengangkat tabung oksigen berkenaan.

Katanya, anaknya ada menerima bantuan RM270 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berharap dapat membeli mesin oksigen yang akan memudahkan anaknya itu bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 10:18 AM