KEADAAN kereta mangsa yang terbabit nahas.
KEADAAN kereta mangsa yang terbabit nahas.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Seorang lelaki maut manakala dua yang lain cedera selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh bangkai lembu di Kilometer 230.3, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari arah Kuala Lumpur berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Kuantan, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, mangsa, Mohamad Hafizuddin Jamal, 24, maut di tempat kejadian selepas kereta Perodua Axia dipandu isterinya merempuh bangkai lembu di lorong sebelah kanan lebuh raya itu.

Sumber polis berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, satu lagi kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki dikatakan cuba mengelak seekor lembu yang melintas jalan di lorong sebelah kiri dengan bertukar ke lorong sebelah kanan.

“Bagaimanapun, ketika pemandu terbabit memasuki lorong kanan, tiba-tiba dia melanggar bangkai lembu di tengah jalan dipercayai sudah dilanggar kenderaan sebelum itu menyebabkan keretanya terbabas ke lorong kiri lebuh raya. Tidak sampai beberapa minit, Perodua Axia dinaiki suami isteri berkenaan turut melanggar bangkai lembu yang sama hingga terbabas dan merempuh Perodua Myvi berkenaan.

“Kejadian menyebabkan Mohamad Hafizuddin yang duduk di bahagian penumpang hadapan Perodua Axia itu maut akibat cedera di kepala manakala isteri mangsa dan pemandu Myvi cedera ringan,” kata sumber itu.

Menurut sumber, mangsa yang cedera, Mohamed Ariff Ali, 26, dan Nurul Natasha Abu Talib, 24, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.

“Kerja mengeluarkan mangsa yang cedera sebelum itu dilakukan anggota bomba dan penyelamat sebelum mereka dihantar ke hospital,” katanya.

Sumber berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung bangkai lembu yang ditemui di lebuh raya itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Nor Yusof Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 7:43 AM