IBU OKU bersama dua anak (dari kiri) berbincang dengan peguam di pekarangan mahkamah, semalam.
IBU OKU bersama dua anak (dari kiri) berbincang dengan peguam di pekarangan mahkamah, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) bersama dua anak lelakinya didakwa di dua mahkamah berasingan semalam, terhadap tuduhan mencederakan dan mengeksploitasi seorang pembantu rumah warga Indonesia.

K Kaliamah, 45, yang hadir berkerusi roda bersama dua anaknya, S Shashikumar, 25, dan Muhesh Kumar, 20, kelihatan tenang ketika tuduhan terhadap mereka dibacakan.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Kaliamah dan Muhesh Kumar mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memperdagangkan wanita warga Indonesia, Koiriyah, 33, bagi maksud eksploitasi kerja paksa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Timah Jaya, Tanah Merah Site C di sini, antara Oktober hingga Disember tahun ini.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Fathiyah Idris membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Januari untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah manakala tertuduh diwakili M Sivam.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Port Dickson, tiga beranak itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan kepada Koiriyah menggunakan tangan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada hari dan lokasi sama dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Bagi kes ini, A Ashwini bertindak selaku Timbalan Pendakwa Raya dan tertuduh diwakili peguam sama.

Majistret Siti Khairiah Abdul Razak kemudian menetapkan kes itu dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen pada tarikh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 9:49 AM