TERTUDUH K Kaliamah(berkerusi roda) bersama dua anaknya S Shashikumar (berdiri, dua dari kiri) dan S Muhesh Kumar (berdiri, kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TERTUDUH K Kaliamah(berkerusi roda) bersama dua anaknya S Shashikumar (berdiri, dua dari kiri) dan S Muhesh Kumar (berdiri, kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Tiga beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memperdagang dan mencederakan pembantu rumah warga Indonesia.

K Kaliamah, 49, yang juga orang kurang upaya (OKU) bersama dua anak lelaki, S Shashikumar, 25, dan S Muhesh Kumar, 20, dituduh melakukan perbuatan itu di rumah di Taman Jimah Jaya, Tanah Merah Site C, Port Dickson, antara Oktober hingga Disember.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Kaliamah, dan Muhesh Kumar mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperdagangkan wanita warga Indonesia, Koiriyah, 33, untuk bekerja secara paksa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yangmemperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Fathiyah Idris membenarkan mereka diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan 3 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Port Dickson, tiga beranak itu didakwa dengan sengaja mencederakan Koiriyah menggunakan tangan di lokasi dan masa yang sama.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Siti Khairiah Abdul Razak menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah dan A Ashwini manakala tertuduh diwakili M Sivam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 4:11 PM